HIKMAH : Kebesaran Allah (SWF)

Tuesday, 12 November 2013

HIJRAH AGENDA PENTING DALAM SEJARAH DAN KEHIDUPAN UMMAH




HIJRAH AGENDA PENTING DALAM SEJARAH DAN KEHIDUPAN UMMAH

 

Muqaddimah


 

Sejarah hijrah Rasulullah memberi pengertian yang amat besar kepada kita selaku penerus perjuangan addin yang suci ini kerana ianya merupakan titik tolak ysng pertama dalam menuju perubahan dan matlamat yang diimpikan. Persoalannya ,apakah kita sedar betapa besarnya peranan sejarah untuk kita manfaatnya dan mentadbiqkannya secara amali guna memperbaiki diri,keluarga,jamaah sama ada kecil atau besar,negeri,tanah air serta dunia seluruhnya kearah Islam yang syumul? Atau apakah telah berpuashati dengan keadaan kita dan negara kita yang jelasnya hanya bertopengkan Islam.

 

Senario Dan Sorotan  Zaman Pra - Hijrah


 

            Zaman pra –hijrah bermula di Mekah selepas Rasulullah  menjadi Rasul. Bermula dari permulaan wahyu sebagaimana yang tercatat di lembaran hadis Rasulullah di datangi mimpi ketika fajar subuh dan baginda sentiasa berkhulwah beribadat di Gua Hira’ sehinggalah Jibril mendatangi Rasul membawa perutusan Allah Taala yang pertama. Sejarah yang berlaku lebin kurang 1416 tahun yang lalu sentiasa segar di ingatan kita namun entah dimana silapnya sejarah Rasul yang sepatutnya diulang lakon untuk kita kali kedua seolah-olah menjadi beku dan terus beku dan hanya tinggal di helaian sejarah sahaja.

            Secara umumnya peringkat dakwah Rasul terbahagi kepada empat peringkat. Peringkat pertama dan kedua yang awal berlaku di Mekah iaitu peringkat dakwah secara sembunyi dan secara terang-terangan. Perkara pokok diawal dakwah Rasulullah ketika ini ialah menanam asas aqidah yang kukuh lagi utuh  di dalam jiwa  setiap individu muslim. Pada peringkat dakwah peringkat awal ini, antara sahabat-sahabat yang menerima dakwah ini ialah Khadijah bt Khuwailid,Ali bin Abi Talib, Abu Bakar bin Abi Qahafah, Uthman bin Affan, Zaid bin Harisah , Abdul Rahman bin Auf, dan lain-lain lagi .Dan pusat talaqi mereka bersama Arsullah ialah dirumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Hampir 40 orang berjaya diislamkan pada peringkat poertama yang memakan masa lebih kurang 3 tahun ini.

            Peringkat dakwah yang kedua ialah menyeru secara terang-terangan. Dan di sinilah bermulanya era penentangan yang semakin hari semakin hebat yang dilancarkan oleh kuffar Quraish. Mereka cuba untuk membunuh Rasulullah namun tidak berjaya . Justeru jalan yang lebih bersifat menyeksa di ambil melalui cara yang terancang dengan memeterai sebuah piagam yang menyekat Bani Hasyim dan Bani Mutalib dari sebarang hubungan dengan qabilah yang lain. Piagam ini memutuskan sebarang perhubungan pernikahan, muamalah perniagaan dan menyekat sebarang sumber rezeki kepada yang terlibat. Sehinggalah diriwayatkan bahawa mukminin ketika itu terpaksa  memakan daun-daun pokok. Kalaupun terdapat muamalah yang berlaku , barang-barang dijual dengan harga yang berlipat kali ganda dari harga asal dan akhirnya bapa-bapa terpaksa pulang  menemui anak-anak mereka yang kelaparan dengan tangan kosong dan air mata. Piagam berkuat kuasa pada Muharram tahun ke 7 kerasulan sehinggalah tahun 10. Desakan dan tekanan yang amat hebat inilah yang akhirnya memaksa Rasulullah memerintahkan mukminin berhijrah  ketenpat di luar Mekah memandangkan keadaan mereka yang amat daif dan memilukan lantaran menghadapi penyeksaan Quraish. Pada zaman inilah ramai yang syahid di tangan Quraish    kerana bertegas mempertahankan  aqidah suci walaupun hatta berbekalkan kalimat    .أحد     ...أحد .Antara mereka yang

berjaya dikurniakan penghormatan syahid di bumi Mekah ialah keluarga Yasir dan ramai lagi. Keadaan ini berterusan sehinggalah Allah mewahyukan kepada Rasullah supaya berhijrah  ke Madinah.

 

Kronologi Peristiwa Yang Mendesah Hijrah.

Hijrah mukmin yang pertama.

Hijrah yang pertama di zaman Rasulullah berlaku pada bulan rejab tahun ke 5 kebangkitan Rasulullah iaitu seramai 10 lelaki dan 4 perempuan yang di ketuai oleh sahabat yang bijak iaitu Jaafar bin Abi Talib ke Habsyah. Raja Habsyah ketika itu ialah Najasyi seorang ahli kitab yang akhirnya menerima islam selepas dialog dengan ketua muhajirin itu. Namun  mereka kembali ke Mekah pada bulan Syawal tahun yang sama kerana ditipu dengan berita palsu bahawa semua penduduk Mekah telah memeluk Islam. Antara sebab Habsyah menjadi pilihan Rasulullah untuk tapak hijrah ialah kerana Raja Najasyi ialah seorang   ahli kitab. Selain itu, beliau beliau juga merupakan raja   yang adil kerana tidak menzalimi rakyat di samping perjalan yang dekat untuk kesana. Faktor lain yang tidak kurang pentingnya ialah kerana urusan pentadbirannya tidak di pengaruhi dengan mana-mana qabilah arab.

Hijrah ke Habsyah kali kedua ialah seramai 82 atau 83 orang lelaki dan 18 orang perempuan . Mereka kembali semula ke Mekah pada tahun 7 hijrah seramai 33 orang  selepas mendengar izin daripada Rasulullah untuk berhijrah ke Madinah. Namun setengah daripada mereka terus barhijrah ke Madinah selepas beberapa orang daripada mereka di tahan ketika memasuki Mekah. Mereka yang tidak bersama 33 orang ini terus menetap di Habsyah dan telah berhijrah  ke Madinah pada tahun ke 7 hijrah yang di ketui oleh Jaafar bin Abi Talib. Desakan terhadap hijrah pada waktu ini tidak lain hanyalah kerana belas kasihan Rasullullah terhadap penyeksaan yang dihadapi oleh mukminin dalam mempertahankan aqidah mereka.

 

      Tahun Dukacita      (عام الحزن)

Pada tahun ke 10 kerasulan Rasulullah , Isteri baginda Khadijah bt Khuwailid telah kembali menemui Tuhannya. Lewat sebulan 5 hari ia diiringi pula dengan kematian bapa saudara baginda Abi Talib . Pemergian kedua-kedua orang yang amat besar jasa dan pengorbanannya  terhadap Rasulullah dan dakwah Islam ini tanpa di duga telah meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap Rasulullkah,pihak Quraish telah mengambil kesempatan untuk menyeksa fizikal dan spritual Rasulullah dan kaum muslimin hatta mereka tidak segan silu untuk mengadakan sekatan yang tidak pernah difikirkan sebelum ini. Hilanglkah segala pertolongan manusia dan yang tinggal hanyalah Allah Taala dan orang-orng mukmin yang bersama baginda.

Pada zaman ini juga baginda juga nenerima utusan pertama yang luar dari Mekah iaitu 30 orang lelaki Nasrani dari Habsyah yang datang menghadap baginda bersama-sama Jaafar yang kembali ke Mekah. Utusan ini mendengan kalimat-kalimat mukjizat Al-Quran yang telah megikat hati mereka umntuk memeluk Islam.

 

      Hijrah Rasulullah ke Taif.

Rentetan kezaliman Quraish  terhadap Rasulullah dan dakwah baginda, Rasul dengan hati yang pilu  cuba mengarah dakwah pilu ini ke Taif yang di pimpin oleh Bani Thaqif. Namun baginda tidak mendapat tempat di hati pemimpin tersebut bahkan mereka menolaknya dengan kasar. Keadaan Rasulullah yang hanya  ditemani oleh Zaid bin Harisah amat genting di tambah  pula dengan kebimbangan baginda  jika Quraish dapat mengesan usaha baginda yang cuba untuk memanjangkan dakwah ke Taif .Akhirnya Baginda terpaksa keluar dalam keadaan  dicaci dan  dihina dan di perolok-olokkan oleh kanak-kanak dn penduduk Taif sambil di lontari oleh batu di sepanjang perjalanan mereka. Harapan Rasulullah untuk mendapat nafas baru  dalam dakwah berkecai dengan tindakan mereka.

Rasulullah yang berdarah kakinya walaupun cuba untuk dilindungi oleh Zaid  telah berteduh di sebuah kebun anggur milik Utbah bin Rabiah. Disinilah baginda melafazkan doanya yang terkenal yang merupakan tawajjuh dan pengaduan kepada Allah bukan kerana tidak sabar tetapi guna untuk meneguhkan hati. Pemilik kebun tersebut mengutuskan Adas hamba Nasrani untuk memberi anggur kepada Rasulullah    yang akhirnya membawa kepada pengislaman tatkala mendengar kalimat   بسم ألله yang diucapkan oleh Rasul ketika hendak memakan anggur tersebut  Disinilah baginda diberi peluang  oleh malaikat untuk memusnahkan kaum Taif , namun Rasulullah memilih untuk diselamatkan kaum yang tidak ,mengetahui itu dan berharap agar lahir dari sulbi mereka agar anak-anak mereka yang menyembah Allah dan tidak menyekutukkan Nya. Suatu peristiwa yang menarik ketika Rasul  menerima ujian hebat ini, baginda terus solat memohon pertolongan Allah di tengah malam . Keadaan baginda inilah yang telah disaksikan oleh para jin yang mendengar bacaan Rasullah di dalam solatnya dan telah mengundang kelembutan di hati  mereka menerima Islam . Baginda kembali ke Mekah secara sembunyi-sembunyi penuh perancangan dengan pertolongan sahabat yang bernama      مطعم بن عدى

الاسراء والمعراج


Sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran bahawa Allah telah memperjalankan Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin dan telah mengangkat baginda meniti lapisan-lapisan langit di alam tinggi yang terakhir di Sidratul Muntaha iaitu tempat  terhentinya ilmu segala makhluk langit dan bumi . Semua itu berlaku mengikut riwayat Ibn Saad lebih kurang 18 bulan sebelum hijrah. Rasulullah telah di bedah di dada dan telah di basuh dengan air zam-zam buat kali kedua sebelum diangkat buat kali kedua untuk bertemu dengan Allah. Pembedahan ini adalah untuk penyucian hati baginda yang telah sedia suci semata-mata untuk menghadapi pertemuan dengan Allah. Di sinilah  fardhu solat di terima buat ummat ini dengan merakamkan petikan syahdu dialog Rasulullah itu didalam tasyahud solat.

Di waktu perjalanan inilah Rasulullah menyaksikan pelbagai keadaan umatnya sama ada yang menerima pembalasan baik sebaliknya pada masa yang dijanjikan                                                                        kelak. Pada keesokan harinya baginda menceritakan pengalaman baginda yang merupakan ujian keyakinan besar terhadap orang yang beriman untuk menjauhkan  hati mereka dari orang kufar yang berat dengan kekufuran. Bagi telah dibenarkan oleh mukminin tetapi telah didustakan malah diperolok-olokan oleh kuffar dengan berita ajaib yang direkakan.

            Rasulullah yang telah menerima ujian yang menimpa-nimpa sebelumnya. Hati baginda Peristiwa mukjizat yang agung ini telah memberi erti yang mendalam didalam jiwa yang mengalami kesedihan akhirnya ditawarkan bahkan diraikan dengan penghormatan yang gilang-gemilang yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Inilah peristiwa yang pertama dan terakhir dalam sejarah bumi dan langit dan Rasul kita telah melalui dengan penuh penghormatan dan kesyukuran.

 

بيعة العقبة  الأولى والثانية


            Inilah permulaan Islamnya penduduk Madinah .  Peristiwa unit bermula pada tahun 11 kerasulan apabila rasullulah menyebarkan dakwah kepada jemaah haji yang datang ke Mekah. Rasul telah bertemu dengan beberapa  daripada qabilah Khazraj dan menyeru mereka  kepada Islam dan mereka telah menerimanya . Pada waktu itu, di Madinah , kaum yahudi menguasai kekayaan negara dan pastinya mereka memzalimi qabilah lain sebagimana sedia yang di ketahui keadaan mereka. 

            Bai’ah Aqabah  pertama ialah pada tahun 12 hijrah di Aqabah yang melibatkan 12 orang lelaki Madinah. Mereka menerimanya dengan senang hati sebagai melengkapi kesinambungan dakwah dan pengajarannya Rasulullah telah mengutus Mus’ab bin Umair untuk mengajar kepada mereka . Antara mereka itu ialah Ubadah bin Somit, Rafi’bin Malik dan lain-lain.

            Bai’ah Aqabah kedua berlaku selepas selesai haji . Bai’ah ini diantara Rasulullah yang ditemani Abbas bin Abdul Mutallib bersama 71 lelaki dan 2 orang perempuan iaitu Nusaibah binti Kaab dan Amru bin Adiy. Selepas selesai bai’ah mereka semua kembali ke Madinah dan terus menyebarkan agama ini kepada qabilah masing-masing dengan jayanya.

 

            Hijrah Rasullah ke Madinah.

      Situasi kehidupan mukmin ketika ini bertambah terseksa dengan perlakuan kebinatangan kufar Quraish yang terus menyeksa mukminin. Ia berleluasa sehinggalah Rasulullah megizinkan mereka berhijrah ke Madinah. Antara mereka yang awal berhijrah kesana ialah Abu Salmah bin Abdul Asad, Amir bin Rabiah bersama isterinya Laila binti Hasmah. Abu Bakar juga meminta untuk berhijrah tetapi ditahan untuk berhijrah. Melihat ramainya mukminin berhijrah, kuffar berasa bimbang dan akhirnya mendapat kata sepakat untuk membunuh Rasulullah. Persetujuan itu dicapai di rumah Kusai bin Kilab dan ,mereka bersetuju mengambil seorang pemuda dari setiap qabilah untuk melaksanakan rancangan ini.

            Pada malam yang telah dijanjikan Jibril pun mendatangi Rasulullah dan menyuruh nya berhijrah dan tidak tidur di tempat tidur baginda sebaliknya di ganti oleh Ali bin Abi Talib. Pada waktu itu,rumah Rasulullah telah di kepung  oleh kuffar yang telah ditugaskan untuk membunuh baginda. Namun akhirnya dengan pertolongan Allah ,   Rasulullah telah selamat keluar dari rumahnya dan menuju ke Gua Thur bersama Abu Bakar pada Rabiul Awal pada 622 Masihi bersamaan13 tahun kerasulan.Abu Bakar terlebih dahulu masuk ke dalam gua bagi memastikan keselamatan Rasulullah . Akhirnya mereka bermukim di sana selama tiga hari dan Abdullah bin Abu Bakar datang membawa perkhabaran dari Mekah. Kuffar cuba untuk menjejaki Rasulullah namun mereka tidak bertemu  lantaran pertolongan AllahTaala. Rasulullah telah meminta pertolongan Abdullah bin Arqat dari kalangan Musyrikin yang boleh dipercayai untuk menjalankan jalan rahsia menuju Madinah.

            Pada ketika itu juga Suraqah bin Ja’syam membuat cubaan untuk membunuh Rasulullah tetpi tidak berjaya dan akhirnya beliau menyatakan keIslamannya. Rasulullah sampai di Quba’ dan tinggal beberapa hari di sana dan seterusnya membina masjid Quba’ . Kemudian baginda meneruskan perjalanan ke Madinah dan sampai pada malam ke 12 Rabiul Awal dan di sambut oleh penduduk Madinah . Semua penduduk berharap agar Rasulullah bermukim di rumah mereka tetapi akhirnya Rasulullah bermukim di rumah Abu Ayub Al-Ansori . Sambutan terhadap Rasulullah telah diadakan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana jejak baginda memang telah sedia dirindui oleh penduduk Madinah. Tiada kegembiraan seumpamanya dan mereka terus melaungkan tanda syukur dan gembira itu dengan irama yang indah dan mendayu….

طلع البدر علينا          من ثنيات الوداع

وجب الشكر علينا       ما دعا لله داع

أيها المبعوث فينا        جئت بلأمر المطاع

 

Zaman Selepas Hijrah.

 

Selepas berhijrah kehidupan mukminin telah berubah corak daripada disakiti kepada hidup aman damai setelah terbinanya daulah Islamiah yang pertama. Di sinilah wujudnya masyarakat madani yang menjadi model tauladan untuk negara Islam sepanjang zaman.

Pada peringkat ini Rasulullah menjadi ketua negara dan bagindalah yang merancang dasar-dasar negara berlandaskan hukum Allah Taala dan Ketetapannya. Kaedah sulbah di bina untuk menguatkan negara iaitu membina masjid, mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar dengan ikatan saudara seaqidah yang kukuh dan memeterai perjanjian dengan kaum Yahudi di Madinah. Tiga asas awal yang diletakkan oleh baginda ini adalah untuk mengukuhkan negara Madinah yang baru terbina .

Selepas itu mukminin telah dibenarkan berperang mempertahankan diri dan seterusnya berperang dengan sesiapa yang menjadi penghalang kepada dakwah. Keadaan ini terus berlaku sehingglah empayar islam luas dan akhirnya baginda wafat setelah sempurna menjalankan amanah Allah dengan sebaik-baiknya.

 

PENGAJARAN UMUM BUAT UMMAT INI.

 

Sirah perjalanan hidup Rasulullah sewajarnya malah wajib dijadikan ikutan ummat islam seluruhnya . Jejak-jejak risalah harus dikaji dan direnungi dengan penuh keinsafan dan kesedaran untuk kembali meneruskan perjuangan suci menegakkan addin ini. Sejarah hijrah Rasulullah yang disorot dalam bentuk umum ini hanyalah sebagai pencetus rasa dan motivasi ke arah boleh mengenali peribadi Rasulullah dan golongan yang bersama baginda di abad pertama Islam. Apatah lagi sebagai golongan yang memikul beban yang mendalami agama, kita perlu hadir dalam sirah perjuangan rasul biarpun hanya bayangan seterusnya menjadikan ianya kenyataan buat kali kedua.

            Dunia Islam sedang bergolak tanpa di ketahi bila sudahnya sedang kita memandang segalanya tanpa sebarang rasa dan usaha . Sejarah hijrah hanya kita ukirkan di lembaran kertas dan bicara. Maka hari ini sewajarnyalah kita melontar segala rutin warisan itu jaun dari hidup ini .Marilah… kita membina generasi islam yang baru seperti yang telah di ajar oleh Rasulullah dan titik mula pembinaan generasi itu tentunya bermula dari kita.

            Bersamalah kita membakar semangat dan pengorbanan di dalam diri dengan mengambil Al-Quran sebagai panduan , Sunnah sebagai ikutan. Jadikanlah diri kita cermin kepatuhan Al-Quran dan Sunnah yang berjalan di muka bumi ini .Seharusnya kita berhijrah dari sebarang kepincangan kepada kebaikan dan daripada kebaikan kepada yang lebih baik dan seterusnya yang terbaik. Segala sifat negatif kita gantikan dengan sifat positif, yang suka berprasangka diubah menjadi sebaliknya yang malas diubah menjadi rajin, yang tidak ikhlas diubah kepada keikhlasan yang suci dan lain-lain.Ingatlah bahawa berpegang dengan aqidah dan akhlak islamlah, persaudaraan islam dapat dicapai sebagaimana yang disaksikan di dalam sejarah,

            Namun kesakitan dan goncangan perasaan perlu dirasai sebelum merasai kemanisan selepas alam hijrah. Inilah dugaan yang mesti sedia ditempuhi oleh muslim demi menguji iman , menghapus dosa dan menaikkan tarafnya di sisi Allah . Berpantang hijrah tanpa menderita kepedihan dan ingatlah semua bentuk  dan rentetan ujian tu memang di rancang oleh Allah kerana beban kemenangan yang menanti terlalu besar dan hanya dapat dipikul oleh mereka yang telah melalui hijrah .

No comments:

Post a Comment

~Hadith riwayat at-Tirmiza~

..akhirat negeri abadi..

Rasulullah bersabda yg maksudnya;

"siapa yang menjadikan akhirat sebagai pusat perhatiannya, nescaya Allah s.w.t akan membuatnya merasa kaya dalam hatinya,segala urusannya menjadi teratur & dunia dtg kpdnya tanpa perlu mengejarnya. Sementara siapa yg menjadikan dunia sbg pusat perhatiannya, nescaya Allah s.w.t akan menjadikan kefakiran berada di depan matanya,segala urusannya menjadi kacau dan kepadanya dunia dtg sekadar yg telah ditakdirkan baginya"
-hadis riwayat at-Tirmidzi-