Petikan
dari kitab ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)
Ramai wanita professional dan yang
kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan,
mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut diatas. Malah ada yang
berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin
menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di
media massa.
Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT
dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi
mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu.
Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :-
"Hai Nabi! Katakanlah kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua
hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang
demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam)
supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)
Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya
semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh
badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan
Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya,
misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki
fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang
memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu
sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak
kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali
sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh
orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.
Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut
memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang wanita
muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang
suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau
karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang,
tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya,
berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering
menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka
berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit
pindaan)
Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa
salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah
sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan
disakiti.
BANTAHAN KAUM WANITA
"Eleh, tetapi hari ini ramai juga
wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena bunuh dijerut dengan
tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung
bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu ?. Hujah
balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.
"Pernah tak anda merasa amat
marah sepanjang hidup anda ?" Tanya saya kembali.
"Pernah juga ustaz..kenapa ustaz,
apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.
"Biasanya bila seseorang itu
sedang amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir bahaya atau tidak tindakan
yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang sedang marah kerana bising
tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya baca di akhbar
baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan
bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising
itu, setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu cemas
dan mungkin menyesal"
"Demikianlah juga nafsu jahat,
bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat samada kepada pakaian dan
umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya, sasarannya hanya mendapatkan
hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta
kanak-kanak perempuan juga terancam, tanpa dapat dinafikan juga peranan vcd,
laman, akhbar, majalah dan novel lucah " terang saya.
"Tapi macam mana pulak ayat tadi
kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?" Balas mereka
dengan penuh minat kali ini.
"Jika kita lihat dengan teliti,
ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini bermaksud, jika
sebahagian besar wanita tidak
mentaatinya dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu,
faedah dan kebaikan dari tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari
disakiti secara umum akan tergugat dariu mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya,
ayat itu nak beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga
keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing" Jelas saya
"Maka bila ada yang seksi, ini
bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat lain
kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang
tidur"
PENGALAMAN MENUMPANG KE MASJID
Saya masih ingat, dalam perjalanan ke
Masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid di Ibu Negara. Pejabat
saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut saya menumpang kereta
seorang rakan. Bersama kami beberapa rakan sekerja yang lain. Tiba-tiba
semasa berada di lampu trafik, tiba-tiba suasana dalam kereta agak bising
dengan bunyi..uiiiii..oii...peh..mengancam...dan sebagainya, diikuti dengan
kata-kata :
"Astaghfirullah..korang ini teruk
betul la, kan
ustaz ada dengan kita ini.." Kemudian "disambut dengan kata rakan di
belakang, ye la..ini la yang bagus kita pergi masjid dengan ustaz, terjaga
sikit"
Anda tentu dapat menggagak apa yang
dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa kerana sedang
membelek pelbagai mesej soalan hukum hakam tertunda yang memenuhi telefon
bimbit saya. Bila saya tanya, kenapa? dengan malu-malu mereka menyalahkan
sesama sendiri akibat ‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek wanita KL, samada
wanita Melayu mahupun Cina disekitar kawasan segitiga emas itu.
Cuba
bayangkan, perasaan lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid,
semuanya juga telah berumah tangga, tapi nafsu masih teransang apabila
didedahkan kepada permandangan seperti itu. Jahatkah mereka?
"Gatal dan dah miang sangat kot
orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak sangka, harap suami kita tak macam
ni" mungkin itulah yang akan dikatakan oleh sebahagian besar pembaca
wanita sekarang ini.
Tapi itulah cabaran terbesar lelaki
wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan
Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT :
زين
للناس حب الشهوات من النساء والبنين ..
"Dihiaskan (diuji) bagi manusia
itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak,
harta..."
Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat
utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda :
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Ertinya : "Tidak aku tinggalkan
fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain
wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )
ANTARA LAWAK & HUKUM
Saya juga masih ingat, sewaktu di
tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering kali apabila mereka terlihat aurat
wanita sebegini akan disebut .. "tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak
berdosakan?". Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang
kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka.
Sebuah hadith : "Dari Jarir bin Abdullah,
ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat
wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah
pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu,
Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith
Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.
Apabila ia adalah sebuah hukum, maka
adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan
dengannya. Nabi SAW bersabda :-
ان
العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق
والمغرب
Ertinya : " Sesungguhnya seorang
hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan
hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka
lebih sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz
al-Lisan, 11/256 , no 2988)
KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT
Ketika ini, saya mengambil masa
sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu kereta dari Puchong ke Jalan Sultan
Ismail. Setiap hari, laluan jalan pergi dan pulang ini akan mempamerkan
kejahilan wanita Islam hari ini tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan
penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut :-
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah
memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi
ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi
baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi
bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah
‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi
amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi
hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan
sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi
tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi
kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi
dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan
dadanya.
Sebahagian wanita menyangka bahawa
tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali.
Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :
"Hendaknya mereka itu melabuhkan
tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN
KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung), iaitu
semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut
‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu belahan dada yang
terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.
Setiap perempuan Islam wajib menutup
kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga
semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang
memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi
yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang
dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli
seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian,
perhiasan, make-up dan sebagainya.
Dalam ayat di atas Allah memerintahkan
kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan
melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan
apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang
erti apa terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi seperti
Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah :
celak dan cincin.
Yang berpendapat seperti ini ialah
sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti
boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak
tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin
Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah
r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh
dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan
adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan
sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari
mendedahkannya.
Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini
tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan
zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up
ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh
dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu
semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas
hukumnya adalah haram.
Namun, kiranya sesempurna mungkin
seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya,
termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga meluasnya kerusakan
dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan
tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan
fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak
menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau
ayahnya." (an-Nur: 31)
Kesemua jenis berpakaian yang disebut
tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini
tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras
membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya:
perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher
(rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang
kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya
boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk
dinampakkan.
Amat jelas dari dalil al-Quran dan
al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk
dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang
dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa
fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh
Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum
pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi
yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan
yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan
mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat,
rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini
tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga,
padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian."
(Riwayat Muslim)
Mereka dikatakan berpakaian, karena
memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya
pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan
telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit
tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram
Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)
‘Bukhtun' adalah salah satu macam
daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan
seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik keghaiban ini, seolah-olah
Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan
dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon
kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon
seperti ini
Larangan Nipis
Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan,
saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan
berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan
mengatakan:
"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang
perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan
tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak
tangannya." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun terdapat perawi lemah dari
hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka
dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.
Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa
melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama
tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal.
(Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung
tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
يرحم الله المتسرولات
Ertinya : Allah sentiasa merahmati
para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat
Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul
Ummal, no 41245) .
Menurut Imam Mujahid, hadith ini
berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga
terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW
memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai
seluar. Lalu sebagai respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas.
( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)
Berdasarkan dalil ini juga, bermakna
Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk berseluar panjang (di sebelah
dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di
dalam ilmu Usul Fiqh.
KESALAHAN KESEPULUH :
Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan
suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada menyanyi
mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian
kerana sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu
mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu
memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan
dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan ini datang dari Firman Allah
SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan
perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada
penyakit." (al-Ahzab: 32)
TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT
Berdasarkan dalil Al-Quran dan
al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah
termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah
satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan
terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina,
mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak
luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan
mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan
dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-
" Maka Syaitan membisikkan
fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup
dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf : 20)
Ringkasnya, antara tujuan utama
diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-
a)
Perbezaan dengan binatang.
Allah SWT berfirman :
" Wahai anak Adam, telah kami
turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk
perhiasan" ( Al-A'raf : 26)
Amat jelas dari ayat ini, penutupan
aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam
iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara
langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup
kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.
b)
Agar kaum wanita tidak disakiti
Ia berdasarkan ulasan yang telah saya
buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.
c)
Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.
Ia juga boleh difahami dari surah
Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : « .. yang demikian itu lebih
memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam).. »
Dari sini jelas, menunjukkan salah
satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut
Islam. Firman Allah :
« Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda
ketaqwaan hati »
d) Tanda profesionalism dalam sistem
pemakaian Islam. Kita dapat memerhati bagaimana
‘trend' sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress
code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan
penjagaan standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu.
Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di
sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan
kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga
‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.
Justeru, Islam adalah satu agama dan
cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan
melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti
urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian,
Islam tidak mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru,
sudah tentu ‘standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan
bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.
e)
Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah
SWT.
Saya kira hal ini amat jelas, dari
firman Allah ertinya : Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah
yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk : 2)
DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER
Ungkapan ini kerap saya dengari, saya
yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak
menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia
berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung pun
banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya
memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik, kami tak
kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita
ini lagi.
Benarkah hujjah mereka?. Benarkah
penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance'
hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat
kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan
kamu" (Riwayat Muslim)
Simpati bercampur kesal saya mendengar
bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk
menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan
kehendaknya sahaja.
"Seorang pekerja yang dijumpai
oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen
yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata:
"Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"
Lalu jawab si pekerja : " Saya
luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan
cemerlang"
Adakah anda rasa si boss boleh
menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati
seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?
Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan
suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca
pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah
bersabda ertinya :
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri
anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu,
dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah
hati" (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut neraca
Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak
tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang
diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya
pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik
pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di
peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya
seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru, 'we can judge a book by its
cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah
tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.
Menghukum berdasarkan yang zahir ini
bertepatan dengan hadith :
إنما
أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي
بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من
النار
Ertinya : Sesungguhnya aku hanya
manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku,
dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka
aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa
yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat
kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu
mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat
Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan
seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir
yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya
adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini
boleh dianggap baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari bahawa
dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa
setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat
satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang
memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan
pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW
من
سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً
Ertinya : Sesiapa yang mempelopori
sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya
tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih
)
Termasuklah dalam erti mempelopori,
apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang
menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga
mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang
sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan
hatinya ?.
Sesungguhnya Allah itu maha adil dan
maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya.
Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ;
Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka
juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya
No comments:
Post a Comment