Bank Konvensional
MUQADDIMAH
Para
Ulama' dan Fuqaha' terdahulu telah membuat perbahasan mengenai mu'amalat-mu'amalat
manusia yang berlaku pada zaman mereka, beristinbat serta berijtihad menentukan
hukum-hakam syarak baginya sehingga tidak wujud sebarang bentuk aktiviti
atau mu'amalat melainkan sudah ditentukan hukum-hakam syarak dan
pendirian ulama' tentangnya. Mereka telah membuat perbahasan mengenai
jual-beli, syarikah, mudharabah/qiradh, salam, rahn, hiwalah, wakalah
dan mu'amalat-mu'amalat yang lainnya
yang muncul pada zaman mereka.
Gerak kerja dan mu'amalat
manusia tidak pernah terhenti pada satu tahap. Pada setiap zaman akan muncul
pelbagai gerak kerja atau mu'amalat baru yang tidak pernah wujud pada
masa sebelumnya. Maka dengan sebab itulah kita mendapati pada zaman moden ini
terdapat pelbagai bentuk dan jenis mu'amalat dan gerak kerja manusia yang tidak pernah dikenali oleh para ulama'
dan fuqaha' terdahulu dan belum muncul pada zaman mereka seperti mu'amalat
dan gerak kerja bank, insuran, bursa-bursa saham, pertukaran mata wang,
perniagaan sekuriti dan sebagainya.
Kalaulah ulama' dan fuqaha'
generasi terdahulu telah melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap agama
dan umat Islam dengan membuat perbahasan dan menentukan mauqif syara'
terhadap semua mu'amalat yang berlaku pada zaman mereka, maka menjadi
tanggungjawab para ulama' generasi baru pada hari ini untuk membuat
perbahasan dan menentukan mauqif syara' bagi mu'amalat-mu'amalat baru yang muncul pada hari ini.
Kertas kerja yang sederhana
ini cuba meneroka salah satu mu'amalat
baru yang muncul pada zaman ini iaitu mu'amalat bank. Penumpuan yang
diberikan di dalam kertas kerja ini ialah kepada bank konvensional yang
merupakan bank yang awal wujud dan berleluasa di tengah masyarakat pada hari
ini.
Kertas
kerja ini mengandungi tiga bahagian:
a) Bahagian pertama menyentuh secara umum tentang bank konvensional
meliputi takrifnya, jenis-jenisnya dan sejarah kewujudannya.
b) Bahagian
kedua menyentuh tentang bank perdagangan iaitu sejenis bank konvensional
yang paling penting dalam ekonomi hari ini. Penumpuan yang diberikan ialah
kepada aktiviti bank tersebut.
c) Oleh
kerana matlamat sebenar kita bukan sekadar mengetahui selok-belok tentang bank konvensional
tetapi yang lebih penting daripada itu ialah mengetahui pendirian syariah tentang
aktiviti-aktivitinya, maka bahagian ketiga dalam kertas ini membicarakan
beberapa mauqif syariah dan fiqh Islami terhadap
aktiviti-aktiviti bank hasil daripada pengkajian yang telah dibuat oleh para
ulama' semasa.
BAHAGIAN PERTAMA
BANK KONVENSIONAL
(Satu Pengenalan)
1.Takrif Bank
Iaitu
satu institusi kewangan yang menjalankan aktiviti memberi dan menerima
pinjaman, mengeluarkan draf-draf 1 atau bil-bil perintah bayar, menjadi
pemegang amanah ke atas harta, simpanan dan barang-barang bernilai,
membiayai/memodali perusahaan-perusahaan dan projek-projek dan
aktiviti-aktiviti yang seumpamanya.
Di dalam Kamus Dewan
terbitan DBP, Bank ditakrifkan sebagai
:"Institusi yang menerima dan menyimpan wang pelanggannya serta
memberi pinjaman kepada orang ramai dan menguruskan hal-hal kewangan yang
lain."
2. Jenis-jenis bank konvensional
1. Bank Pusat (Central Bank)
Bank
Pusat merupakan sebuah badan kewangan yang bertanggungjawab menjaga kestabilan
kewangan sesebuah negara dan menurut dasar kerajaan. Biasanya ia dipunyai dan
ditadbir oleh kerajaan.
Bagi setiap negara terdapat
bank pusatnya tersendiri. Bank pusat di Malaysia ialah Bank Negara Malaysia. Di
antara tujuan-tujuan asasnya ialah:
a) Mengeluarkan
matawang dan menyimpan cadangan.
b) Bertugas
sebagai jurubank dan penasihat kewangan kepada kerajaan.
c) Mewujudkan
kestabilan kewangan dan struktur kewangan yang baik.
d) Mempengaruhi
keadaan kredit demi kepentingan negara.
e) Sebagai
sumber pinjaman terakhir dan jurubank kepada bank-bank perdagangan.
2. Bank Perdagangan (Commercial Bank)
Bank
Perdagangan merupakan institusi yang dimiliki oleh pihak-pihak persendirian
yang bertujuan untuk mencari keuntungan. Bank-bank jenis ini memainkan peranan
terpenting dalam ekonomi moden, mempunyai paling banyak bilangan, dan melakukan
pelbagai tugas penting dalam ekonomi.
1
Draf : Pemberian kuasa secara bertulis untuk membayar sejumlah wang kepada
orang tertentu atau satu arahan bertulis yang dikeluarkan oleh seorang individu
(Drawer/ الساحب ) kepada seorang individu yang lain (the
draweالمسحوب عليه/ ), supaya membayar sejumlah wang yang tertentu
kepada pihak yang ketiga (the payee/
المستفيد ). Draf dan begitu juga cek
tergolong di dalam Halawah.
Aktiviti-aktiviti
utama bank perdagangan ialah menerima deposit/simpanan, memberi pinjaman
dan membuat pelaburan. Namun demikian, aktiviti terutama bank perdagangan ialah
mencipta deposit/simpanan5
semasa melalui kegiatan pemberian pinjaman.6
Ia adalah sebuah institusi
kewangan yang tidak dikhususkan yang berinteraksi dengan pinjaman
jangka pendek.7
Maksud Bank Perdagangan
sebagai institusi yang tidak dikhususkan ialah ia membuka mu'amalahnya
kepada semua jenis pelanggan. Penamaan bank ini sebagai Bank Perdagangan atau
Perniagaan tidak bermaksud bahawa ia hanya berinteraksi dengan peniaga atau
pedagang sahaja. Istilah perdagangan atau perniagaan digunakan kepada bank-bank
jenis ini kerana ia banyak berinteraksi dengan kertas-kertas
perdagangan/perniagaan (Commercial Paper) seperti draf, cek dan
sebagainya.8
3. Bank –Bank Khusus
Iaitu
bank-bank mengeluarkan pinjaman kepada golongan atau sektor-sektor tertentu
sahaja seperti Bank Perusahaan/Perindustrian, Bank Pertanian dan Bank Hartanah. Bank-bank Khusus ini
kebiasaannya mengeluarkan pinjaman-pinjaman jangka sederhana dan panjang.9
a)Bank
Perindustrian
Perindustrian-perindustrian
memerlukan modal jangka panjang untuk membeli alat-alat baru dan meluaskan
bidang pergerakan. Fungsi Bank-Bank Perindustrian ialah membekalkan pinjaman
modal yang diperlukan oleh para pemilik kilang industri atau orang-orang yang
ingin membina kilang industri, dengan mengenakan faedah/bunga dengan kadar yang
tertentu.
Bank
jenis ini banyak terdapat di Jepun dan Jerman.
b)Bank
Pertanian atau Kerjasama
Bank
ini adalah khusus untuk memberikan pinjaman wang kepada para petani dengan
mengenakan faedah dengan kadar yang tertentu.
Petani-petani seperti juga
ahli-ahli perusahaan, memerlukan pinjaman jangka pendek dan jangka panjang.
Pinjaman jangka panjang diperlukan untuk memperelokkan ladang, dan pinjaman
jangka pendek untuk menolong mereka menbeli benih, baja dan alat-alat jentera.
Di Malaysia terdapat Bank Pertanian dan
Syarikat-syarikat Kerjasama untuk memenuhi keperluan para petani.
c)Bank Hartanah ( العقارى )
Bank
ini adalah khusus untuk mengeluarkan pinjaman kepada pemilik-pemilik tanah yang
ingin mendirikan bangunan di atas tanah mereka atau ingin menyempurnakan binaan
di atas tanah mereka.
Bank-bank Hartanah10
memberikan jangka masa panjang kepada mereka dengan mengenakan faedah-faedah
yang tertentu yang mesti dibayar bersama pinjaman asal.11
4.Bank-Bank Simpanan atau Tabungan
(Savings Bank)
Bank–bank
ini berfungsi mengumpul tabungan-tabungan kecil dan menyalurkannya kepada
kegunaan yang lebih berfaedah. Tujuannya ialah untuk menggalakkan jimat cermat
dan membasmi simpanan beku.
Bank-bank membayar
faedah-faedah kepada para penyimpan bagi simpanan-simpanan mereka dengan nisbah
yang bergantung kepada kadar keuntungan yang diperolehi daripada pelaburannya.12
Contoh Bank Simpanan atau Tabungan ini ialah Bank
Simpanan Nasional.
3)Sejarah Bank Konvensional
Pada
tahun 1157, Bank Venice di Itali telah ditubuhkan dan tugas besarnya
ialah menguruskan pinjaman-pinjaman kerajaan. Bank Barcelona ditubuhkan dalam tahun 1401 di Perancis dan
Bank Amsterdam ditubuhkan di Netherlands dengan fungsi yang sama. Selain
daripada bank-bank kerajaan ini,
bank-bank persendirian juga ditubuhkan untuk menguruskan wang asing dan
pelbagai bentuk pendahuluan. Di England, bank mula berkembang pada kurun ke 16
dan 17 melalui tukang-tukang emas.13
Menurut Dr.Abu Bakar Umar
Mutawalli dan Dr. Shauqi Ismail Syahatah
: "Bank-bank Perdagangan moden pada hari ini tumbuh dan mencapai
peningkatan bermula pada asalnya daripada sistem pertukaran/pengurupan (نظام الصيارفة) pada kurun/zaman pertengahan.14
Pada ketika itu, para penukar memainkan
peranan menyimpan harta-harta pelanggannya
(untuk mengelakkan daripada kesusutan berat duit (abrasion 15/ تاءكل العملات )
di mana duit /wang pertukaran pada ketika itu
adalah logam emas atau perak dan untuk mengelakkan masalah kecurian) di
tempat simpanan yang selamat dengan memperolehi komisen. Apabila sistem Ini
telah mencapai kestabilan dan kepercayaan pelanggan kepadanya bertambah, maka
para pelanggan terus membiarkan duit/harta mereka tersimpan dan tidak
mengambilnya melainkan ketika memerlukan sahaja. Para penukar (yang bertindak
sebagai penyimpan tadi), apabila mereka
mendapati bahawa harta-harta tadi berkekalan di dalam simpanan simpanan mereka tanpa diambil oleh
penyimpan dalam jangka masa yang lama, iaitu jangka masa yang memberi peluang
kepada mereka untuk mengeksplotasi harta-harta tersebut tanpa mendatangkan
risiko, maka mereka telah menjadikannya sebagai pinjaman/hutang yang diberikan
kepada orang lain dengan mengenakan bayaran faedah/bunga. Idea atau fikrah
inilah yang telah menjadi sandaran kepada Bank-Bank Perdagangan moden pada hari
ini dalam memberi pinjaman kepada orang lain.”16
5. Kemasukan Bank-Bank Konvensional ke
dalam negara-negara umat Islam
Dr. Ahmad Najjar menyatakan di dalam
kitabnya بنوك بلا فوائد :Umur sebenar kemasukan bank-bank riba ke dalam negara-negara
umat Islam tidak lebih daripada seratus tahun.Umur ini bersamaan dengan umur
permulaan masuknya penjajahan asing ke dalam negara-negara umat Islam dan
penguasaan mereka secara bersenjata ke atasnya.
Masyarakat umat Islam telah
berlalu selama 13 kurun. Dalam masa ini, mereka tidak mengenali apa itu
faedah/bunga dalam mu'amalat mereka dan tidak bermu'amalah
dengannya bahkan mereka menjauhi serta mengharamkannya.
Persamaan masa di antara
kemasukan penjajahan ke dalam negara-negara umat Islam dan kewujudan bank-bank
riba di tengah-tengah masyarakat umat Islam, menguatkan pendapat yang
menyatakan bahawa bank-bank riba ini didirikan dengan sengaja dan dengan
bermaksud tertentu oleh penjajah iaitu untuk membantu mereka meneruskan
penguasaan ke atas negara-negara umat Islam yang dijajah, menimbulkan
pertentangan dalam masyarakat di antara apa yang diiktiqadkan17
dengan apa yang dihadapi dalam kehidupan seharian dan begitu juga untuk melontarkan benih-benih keraguan di
dalam jiwa umat Islam terhadap perkara-perkara yang diterima (oleh mereka) daripada syariat.18
6.Kemasukan Bank-bank Konvensional ke
Malaysia sebelum merdeka.
Di
Malaysia, saudagar-saudagar memulakan urusan bank apabila mereka mewakili
bank-bank Barat, khasnya bila bank-bank Inggeris mula bergerak di negara ini.
Dalam 1830, Guthries telah
menjadi wakil Bank Coutts and Company
yang berpusat di London. Dalam tahun
1850, Bousteds menjadi wakil Hong Kong and Shanghai Banking Corporation.Pada
waktu itu perusahaan perdagangan Inggeris di wilayah jajahannya sedang
berkembang dan ini mencetuskan penubuhan beberapa bank Inggeris di antaranya
ialah Oriental Banking Corperation.
Pada Tahun 1859 Mercantile
Bank India telah menubuhkan satu pejabatnya di Pulau Pinang, diikuti oleh Charted
Bank India dalam tahun 1875 dan Hong Kong and Shanghai Banking
Corperation pada tahun 1884. Kemudian daripada itu, ditubuhkan Bank
Rotterdam dan Banque de Indochine.
Pada peringkat awal,
bank-bank menumpukan operasi mereka di Pulau Pinang dan Singapura sahaja.
Kemudiannya, bank-bank telah meluaskan perniagaan mereka ke kawasan-kawasan
pendalaman. Dalam tahun1888, Charted Bank mula beroperasi di Kuala
Lumpur dan Taiping dan dalam tahun 1911, Bank Mercantile membuka satu
pejabat di Kota Bharu dan kemudiannya ia menubuhkan pejabat-pejabat di Pahang
dan Terengganu.
Bank-bank Cina mula
ditubuhkan di awal kurun ke 20. Sebelum
itu telah wujud firma-firma kewangan Cina yang beroperasi sebagai kedai
mengutip bayaran. Kegiatan-kegiatan mereka dalam perkembangan ekonomi negara
ini dapat diperhatikan bila Bank Kwong Yikditubuhkan di Singapura dalam tahun 1906 dan Bank of
Communications dalam tahun 1901. Bank Cina yang lain yang ditubuhkan ialah Chinese
Commercial Bank dalam tahun 1912, Hong Kong Bank dalam tahun 1917
dan Chinese Overseas Banking
Corperation dalam tahun 1932.
Bank-bank cepat bertambah
selepas tahun 1920.Sebelum tahun
1920,hanya terdapat 13 buah bank menjalankan operasi di 30 buah cawangan.
Ketika itu, belum wujud bank di Malaysia Timur dan Brunei. Pada tahun 1940,
terdapat sebanyak 20 buah bank dan mempunyai 58 cawangan di Malaysia Barat dan
Singapura dan 8 cawangan di negeri-negeri
Berneo. Pada tahun 1959, terdapat sebanyak 26 buah bank yang beroperasi di dalam 111 buah cawangan.19
BAHAGIAN
KEDUA
BANK PERDAGANGAN
(Aktiviti-aktiviti bank)
Telah
disebutkan tadi bahawa bank Perdagangan
adalah bank yang paling penting dan mempunyai bilangan yang paling
banyak dalam ekonomi moden.Oleh itu, ada
baiknya kita mengetahui serba sedikit aktiviti-aktiviti bank Perdagangan.
1)Matlamat, Peranan dan Konsep Utama
Bank Perdagangan.
Matlamat
asasi bank Perdagangan ialah mencari keuntungan.
Peranan
sebenar bank Perdagangan ialah sebagai sebuah institusi yang menjadi orang
tengah dalam urusan kewangan (Financial Intermediaries/(الوسيط المالية yang menjalankan
aktivitinya berdasarkan kepada konsep "Memperniagakan Wang" untuk memperolehi keuntungan.
Maksud bank sebagai orang
tengah bagi urusan kewangan (Financial Intermediaries/الوسيط المالية ) ialah ia menjadi perantara di antara golongan yang mempunyai
lebihan wang/harta dan golongan yang memerlukan
wang/harta iaitu di antara pemberi hutang/pinjam dan golongan yang
meminjam. Ia menerima hutang-hutang (di atas nama simpanan) daripada
individu-individu yang mempunyai lebihan wang dan kemudian mengeluarkannya
semula sebagai hutang-hutang yang diberikan oleh bank kepada individu atau
syarikat yang memerlukannya.20
Ia adalah ibarat sebuah
terusan yang terkumpul di dalamnya harta-harta simpanan untuk membolehkannya
memberi pinjaman/hutang kepada sesiapa yang berhajat kepada harta untuk
memodali perniagaannya, perindustrian, pertanian atau sebagainya.21
Bagaimanakah bank
Perdagangan memperolehi keuntungan daripada polisi yang dijalankan ini? Iaitu
dengan memberi dan mengenakan faedah. Ia memberikan faedah kepada
simpanan-simpanan untuk menggalakkan orang ramai supaya menyimpan wang di dalam
bank dan mengenakan faedah keatas pinjaman/hutang yang dikeluarkan untuk
memperolehi imbalan daripadanya. Nilai faedah yang dikenakan ke atas pinjaman
adalah lebih tinggi daripada nilai faedah yang diberikan kepada simpanan.
Ini adalah untuk memperolehi nilai
perbezaan di antara dua faedah yang ditetapkan ini yang merupakan keuntungan
bank.
Perkara ini kalau dilihat
dari segi teknikalnya ialah22
"Bank menerima hutang-hutang (di atas nama simpanan) daripada
individu-individu dengan memberikan faedah/bunga yang rendah dan kemudiannya
mengeluarkannya semula sebagai hutang-hutang yang diberikan oleh bank kepada
individu atau syarikat dengan mengenakan bunga yang tinggi dan jumlah perbezaan
di antara bunga yang di bayar untuk hutang-hutang daripada pelanggan dan bunga
yang diterima dari hutang-hutang yang dikeluarkan merupakan keuntungan bagi bank.
Memandang kepada hakikat di
atas, maka Dr.Yusof al-Qardhawi menyatakan: "Kalau kita melihat
kepada kunci kira-kira bank Perdagangan yang disiarkan (oleh akhbar umpamanya),
maka kita akan mendapati bahawa melaburkan harta ke dalam perniagaan,
perindustrian dan projek-projek pelaburan, bukanlah menjadi aktiviti asal bank
Perdagangan.
Aktiviti asal bank
Perdagangan ialah menerima dan memberi pinjaman/hutang. Ia mengambil hutang
daripada individu-individu dengan memberikan faedah/bunga kepada mereka
(umpamanya 12%) dan kemudiannya memberikannya kepada orang lain (sebagai hutang
pula) dengan mengenakan faedah yang lebih tinggi (umpamanya15%).Jumlah
perbezaan di antara dua faedah tadi (iaitu sebanyak 3%) akan menjadi keuntungan
bagi bank.23
2) Sumber-sumber Modal Bank Perdagangan
dan Penggunaannya24
Bank
Perdagangan sepertimana institusi-institusi yang lain bermatlamatkan
keuntunggan, mempunyai sumber-sumber modal (مصادر الأموال /Sources of Funds) tersendiri dan cara-cara ia
mempergunakan modal-modal ini untuk memperolehi keuntungan.
Sumber-sumber modal
bank Perdagangan ialah:
a)Modal awal yang disumbangkan oleh pemegang
saham untuk menubuhkan bank ini.
b)Pinjaman daripada bank-bank lain sama ada
bank dalam negeri (khususnya Bank Negara) atau bank luar negeri.
c)Simpanan-simpanan (deposit) meliputi
simpanan sebenar dan simpanan kredit. Simpanan sebenar ialah simpanan yang
diperolehi daripada pelanggan dan simpanan kredit ialah simpanan yang dicipta
oleh bank hasil daripada ia menjalankan aktiviti pemberian pinjaman.
Sumber (a) dan (b) adalah
sumber yang kurang penting dan sedikit jika dibandingkan dengan sumber (c).Oleh
itu, sumber yang utama bagi bank Perdagangan ialah melalui simpanan-simpanan (depositi)
pelanggan.
Oleh kerana matlamat utama
bank Perdagangan ialah mencari keuntungan, maka ia tidak mengumpul harta
daripada pelbagai sumber (seperti yang di sebut tadi)semata-mata dengan maksud
simpanan tetapi untuk mempergunakan harta
tersebut dalam pelbagai bidang bagi mencapai matlamat asasinya iaitu
memperolehi keuntungan. Secara umumnya, bidang-bidang yang diceburi oleh bank
untuk memperolehi keuntungan dapat diletakkan dalam dua kategori :
a) Membeli sekuriti-sekuriti yang meliputi
saham dan bon samada milik kerajaan atau persendirian.begitu juga mendiskaunkan25 kertas-kertas perniagaan (seperti cek, draf dan sebagainya)
b)
Mengeluarkan pinjaman dan pendahuluan26 (advance/ سلفة ) untuk pelanggan samada dengan jaminan atau tanpa jaminan.
Oleh
kerana bank hanya bertindak sebagai orang tengah seperti yang telah disebutkan
tadi, maka harta-harta/modal yang diperolehi daripada sumber-sumber tadi dikira
sebagai tangunggan-tangunggan bank (liabiliti/ الحضوم) bagi pihak orang lain
(iaitu pemilik-pemilik modal). Sementara harta-harta /modal yang telah
digunakan dalam bidang-bidang yang diceburi tadi dikira sebagai hak-hak atau
harta bank (aset/الأصول )
yang berada di tangan orang lain.
(*Untuk membezakan di antara liabiliti
(tangunggan) bank dan aset (harta) bank, lihat contoh kunci kira-kira bank dalam lampiran 1)27
3) Aktiviti-aktiviti Bank Perdagangan28
Di
bawah ini dikemukakan beberapa aktiviti bank Perdagangan yang dijalankan
bertepatan dengan konsep dan polisi yang disebutkan tadi :
1) Menerima Simpanan (Account)
Sejumlah
besar daripada tanggungan bank terdiri daripada simpanan yang diterima daripada
orang ramai. Simpanan yang diterima oleh bank Perdagangan ada dalam beberapa
bentuk :
a)Simpanan Semasa
(Checking Account)
Iaitu
simpanan (akaun) bank yang
membolehkan penyimpan mengeluarkan wang simpanannya pada bila-bila masa dengan
menggunakan cek.Kebiasaannya, bank tidak membayar bunga bagi simpanan jenis ini
sebaliknya penyimpan harus membayar kepada bank wang perkhidmatan.Walau
bagaimanapun, ada dalam beberapa keadaan, bank membayar faedah yang kecil ke
atas simpanan semasa ini sekiranya simpanan tersebut mencapai jumlah yang besar
dan berdasarkan perjanjian di antara bank dan penyimpan.
b)Simpanan
Tetap(Time Account)
Simpanan
tetap merupakan jenis simpanan yang paling penting bagi bank. Ia boleh disimpan
mengikut jangka masa tertentu seperti tiga bulan, enam bulan dan sebagainya.
Bank memberi kadar bunga yang tinggi kepada simpanan yang tetap ini dan
kadarnya bergantung kepada tempoh simpanan.
Sebelum simpanan tetap ini
matang, penyimpan tidak boleh mengeluarkan simpanannya kecuali kalau notis
diberikan terlebih dahulu.
c)Simpanan
Tabungan (Savings Account)
Iaitu
simpanan yang mendapat faedah daripada bank dan disukai oleh penabung-penabung
kecil. Tujuan utama diwujudkan simpanan ini ialah untuk menggalakkan orang
ramai supaya menyimpan wang. Wang simpanan tabungan ini boleh dikeluarkan pada
bila-bila masa.
2) Memberi Pinjaman kepada para
pelangan.
Pemberian
pinjaman kepada pelanggan adalah fungsi terpenting dalam bank Perdagangan.
Menjadi tabiat bank, meminjam daripada pelanggan dengan bunga yang murah dan
memberi pinjaman dengan bunga yang mahal. Perbezaan di antara bunga yang dibayar
untuk simpanan-simpanan pelanggan dan bunga yang diterima dari
pinjaman-pinjaman mendatangkan
keuntungan kepada bank. Kadar bunga yang dikenakan kepada peminjam tertakluk
kepada jangka masa dan risiko. Lebih lama jangka masa dan lebih banyak risiko
maka lebih mahal pula bunga yang dikenakan.
Bank Perdagangan boleh
memberi pinjaman kepada pelanggan melalui beberapa cara :
a) Melalui AkaunPinjaman
Melalui
cara ini bank akan mengkreditkan jumlah pinjaman yang telah dipohon dan
diluluskan ke dalam akaun semasa peminjam dan peminjam diwajibkan untuk
membayar bunga ke atas jumlah
pinjamannya.
b) Pembukaan Kredit29
Iaitu
pelanggan membuat perjanjian dengan bank supaya bank membuka baginya satu
kredit dengan jumlah wang yang tertentu di mana ia (pelanggan)boleh mengambil
wang daripada jumlah kredit ini pada bila-bila masa yang ia perlukan dan ia
tidak menanggung faedah/bunga melainkan keatas wang yang telah ia
keluarkan daripada jumlah kredit tersebut. Kemudahan kredit ini dibuka
oleh bank sama ada dengan jaminan (seperti sekuriti 30 ( ورقة مالية ) atau barang-barang
tertentu) tanpa pinjaman.
c) Melalui Kemudahan Overdraf
Overdraf
ialah pengambilan daripada bank yang melebihi simpanan atau jumlah wang yang
dikeluarkan daripada bank yang melebihi simpanan.
Melalui kemudahan overdraf
ini, bank membenarkan pelanggan mengeluarkan wang yang melebihi jumlah
simpanannya dalam bank dan jumlah maksimun wang yang boleh dikeluarkan oleh
pelanggan ditetapkan oleh pihak bank. Pelanggan hanya perlu membayar bunga ke
atas jumlah kemudahan overdraf yang digunakan saahaja dan bukan ke atas
jumlah maksimum wang yang dibenarkan.
d) Mendiskaun 31Bil
Perintah Bayar (Draf)/Bil-Bil Pertukaran (خصم الكمبيالة)
Seorang peniaga yang ingin memberi kemudahan kredit kepada pelanggannya,
maka ia boleh meminta bank perdagangan mendiskaunkan bil pertukaran yang
dimilikinya. Bank akan mengenakan bayaran komisen dan bunga untuk
perkhidmatan mendiskaunkan bil-bil tersebut. Apabila bil pertukaran sampai
tempoh matangnya, bank perdagangan akan menuntut bayaran daripada peniaga
tersebut.
Pada hakikatnya,
pendiskaunan bil-bil pertukaran adalah pemberian pinjaman jangka pendek.
3) Melabur sebahagian daripada sumber
kewangannya.
Bank
Perdagangan akan melabur dengan membeli aset yang menghasilkan bayaran bunga di
pasaran terbuka. Selain itu, pelaburan juga dibuat ke atas bil perbendaharaan32
dan sekuriti kerajaan Malaysia.
4)Merundingkan draf, bank,cek pengembara dan sebagainya.
Cek
biasa diterima di tempat di mana pelanggan dikenali. Cek boleh ditolak di
tempat di mana pelanggan tidak dikenali. Bagaimanapun, ia boleh mendapatkan
draf bank itu akan diterima oleh sesiapa pun untuk menjejaskan pembayaran
kerana ia adalah cek bank dan dengan itu ia tidak mempunyai risiko.
Adalah sukar dan berisiko
bagi pelancong untuk membawa bersama-samanya wang tunai yang banyak.Sebagai
langkah yang mudah dan selamat, ia boleh menukar wang tunai itu dengan cek
pengembara dari banknya. Bank mengeluarkan cek pengembara tersebut dan ia boleh
ditukar dengan wang tunai di mana-mana cawangan bank atau wakilnya di dalam dan
luar negeri di tempat-tempat yang disebut di cek itu.
4)Merundingkan pelaburan untuk pelanggan
Bank
Perdagangan boleh memberi nasihat kepada pelanggan-pelanggannya yang ingin
menjalankan projek pelaburan. Begitu juga ia boleh bertindak sebagai agen
kepada pelanggan yang ingin membeli saham atau surat jaminan kerajaan.
5) Menyimpan barang-barang bernilai pelanggan
dan bertindak sebagai pemegang amanah.
6)Menguruskan
perdagangan luar negeri seperti membeli dan menjual wang asing untuk pelanggan,
menerima bil perintah bayar yang dikeluarkan di luar negeri dan kadang-kadang
membelinya berdiskaun.
BAHAGIAN
KETIGA
PENDIRIAN-PENDIRIAN
SYARAK TERHADAP BEBERAPA AKTIVITI-AKTIVITI BANK KONVENSIONAL
A) Prinsip-perinsip dan taujihat
Islam di dalam mu'amalat yang berkaitan dengan
harta.33
1. Pengharaman semua jenis riba.
Menurut
Ibnu Rusd, usul riba ada lima iaitu :
(1)
ربا النساء، (2) ربا الفضل، (3) اخرنى وازدك، (4) ضع وتعجل، (5)بيع الطعام قبل قبضة
2. Pengharaman gharar (الغرر) dan perjudian
( المقامرة)
Abu
Hurairah r.a berkata di dalam satu hadis yang diriwayatkan
oleh Imam Muslim ; نهى رسول الله عن بيع
الغرر
Fiirman Allah taala :
يآأيها الذين آمنوا انما الخمر والميسر والانصاب
والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوة
3. Kewajipan memenuhi semua tuntutan.
Secara
umumnya Islam mewajibkan manusia supaya memenuhi segala jenis tuntutan seperti
mana yang difirmankan oleh Allah taala :
ان اللة يأمركم ان تؤدوا الامانات الى أهلها
Walau bagaimanapun, apa yang
kita maksudkan dalam perbicaraan kita ialah kewajipan memenuhi segala jenis
tuntutan yang berkaitan dengan harta, iaitu Islam memerintahkan supaya manusia mengambil
berat terhadap tuntutan membayar hutang pada waktu yang dijanjikan. Sabda Nabi
s.a.w . :
4. Berlaku adil dan bertasamuh/bertolak-ansur
di dalam mu'amalat.
Firman
Allah :
وأوفوا الكيل والميزان
بالقسط
Sabda Nabi
(s.a.w.):
رحم اللة
رجلا سمحا اذا باع واذا اشترى واذا قضى واذا اقتضى
B) Pendirian Syariat dan Feqah
Islam terhadap beberapa mu'amalat bank.
1. Qarar daripada " مجمع البحوث الاسلامية
,الازهر "
Dalam qarar/keputusan yang telah dikeluarkan oleh, مجمع
البحوث السلاميه الأزهر
pada tahun 1965 mengenai mu'amalat-mu'amalat
bank disebutkan bahawa :
1) Faedah
/ bunga yang dikenakan ke atas segala jenis pinjaman/hutang,semuanya adalah
tergolong di dalam riba yang diharamkan, tidak kira samada pinjaman tersebut
adalah pinjaman untuk perbelanjaan hangus (القرض الاستهلاكي ) atau pinjaman untuk
aktiviti pengeluaran (لقرض الانتاجى ). Ini kerana keseluruhan nas-nas Al Quran
dan As Sunnah secara qat'ienya mengharamkan dua jenis riba
ini.
2. Riba
samada banyak atau sedikit ,adalah haram sepertimana yang ditunjukkan
oleh pemahaman yang betul/tepat terhadap firman Allah :
يآأيها الذين آمنوا لا
تأكلوا الربا أضعافا مضاعفا
3. Memberi
pinjaman dengan mensyaratkan riba adalah sesuatu yang diharamkan
dan pengharaman ini tidak terangkat dengan sebab hajat atau darurat.Meminjam
dengan diisyaratkan riba juga adalah sesuatu yang diharamkan dan
tidak terangkat dosanya melainkan kerana darurat/atau terpaksa.
4) Aktiviti-aktiviti
bank yang terdiri daripada simpanan-simpanan semasa, pengeluaran cek-cek,
surat-surat jaminan dan draf-draf dalaman yang berfungsi di antara para peniaga
dan bank-bank dalam negeri, semuanya adalah mu'amalat-mu'amalat bank
yang diharuskan oleh syarak. Komisen atau bayaran yang dikenakan
oleh bank bagi perkhidmatan-perkhidmatan ini tidak tergolong di dalam riba.
5) Simpanan-simpanan
yang mempunyai jangka masa tertentu (iaitu simpanan tetap), membuka kredit
dengan mengenakan faedah dan segala jenis pemberian pinjaman dengan
bunga/faedah, semuanya terdiri daripada muamalat-mu'malat riba yang diharamkan.
6) Adapun
mu'amalat-mu'amalat bank yang berkaitan dengan draf-draf luaran, maka
ditangguhkan pandangan terhadapnya sehinggalah
sempurna perbahasan mengenainya.
2. Kedudukan bunga/faedah bagi pinjaman
/hutang.
Berkata
Ibnu Qudamah di dalam kitabnya : “المغنى”
34
وكل قرض شرط فية ان يزيدة فهو حرام باجماع
Berkata Ibnu Munzir :
أجمعوا على أن المسلف
اذا شرط على المستلف زيادة أو هدية فاسلف على ذلك ,أن أخذ الزيادة على ذلك ربا
Daripada ungkapan Ibnu
Munzir dan Ibnu Qudamah ini, jelas kepada kita bahawa para ulama'
sepakat menyatakan bahawa sebarang penambahan yang disyaratkan oleh orang
yang memberi pinjaman kepada orang yang meminjam ke atas pinjaman /hutang yang
diberikan, adalah riba yang diharamkan oleh syarak tanpa melihat
kepada nama yang diletakkan kepada penambahan tersebut seperti bunga/faedah,
hadiah, saguhati dan sebagainya kerana kaedah yang dipakai oleh ulama'
di dalam menentukan hukum terhadap sesuatu perkara ialah:
العبرة فى الأشياء
بحقائقها لا بأسمائها
Di dalam syariat Islam, 'aqad hutang tergolong
dalam 'aqad sukarela (
التبرع) kerana bukan tergolong dalam 'aqad pertukaran
(المعارضة) kerana matlamat asasi daripada pemberian hutang ialah untuk
membantu peminjam (
المقترض ). Oleh kerana 'aqad hutang ini adalah aqad tabarru'
maka tidak seharusnya pemberian hutang dibuat untuk memperolehi keuntungan atau
habuan kerana ia berlawanan dengan ruh tabarru' itu sendiri.35
3. Mauqif Syariah terhadap denda
berbentuk wang yang dikenakan kepada peminjam kerana melewatkan membayar
pinjaman. 36
Menurut bekas Mufti Mesir, Dr.
Syed Thantawi: "Hukuman atau denda yang berbentuk wang yang diputuskan
oleh Institusi Kehakiman ke atas peminjam yang melewat-lewatkan membayar hutang
bukanlah bermatlamatkan riba tetapi
ia adalah untuk memelihara /menjaga harta manusia supaya tidak dinikmati dengan
cara batil atau salah oleh orang-orang tamak dan melewat-lewatkan
membayar hutang."
Walau bagaimanapun pendapat
ini telah dijawab oleh Dr.Ramadhan Hafiz as Suyuti, Pensyarah Fiqh
Muqaran di Universiti Al Azhar, dengan katanya : "Pendapat ini adalah
batil kerana seseorang hakim apabila memutuskan hukuman supaya
peminjam yang lewat membayar hutangnya
daripada bank supaya menyempurnakan pembayaran dan kemudiannya memutuskan pula
supaya peminjam tadi membayar satu jumlah tambahan ke atas hutang asal sebagai
denda, maka tidak syak lagi bahawa penambahan yang berlaku ke atas hutang asal
ini adalah riba yang diperolehi oleh orang yang memberi pinjam daripada
si peminjam. Keadaannya, adalah serupa dengan amalan biasa bank yang bertindak
sebagai pemberi pinjaman kepada seseorang dan kemudiannya mengambil hutang asal
beserta faedah daripadanya sebagai pembayaran balik. Kedua-dua bentuk ini tidak
ada perbezaannya. Maka, bagaimana kita boleh menyatakan bahawa salah satu
daripadanya bukan riba?".
Ini tidak bermakna bahawa
Islam tidak memelihara harta yang menjadi milik pemberi hutang. Islam mempunyai
caranya tersendiri yang lebil adil iaitu dengan memberi hak kepada hakim untuk
mengenakan tindakan al-Hajr (penahan daripada membelanjakan harta) ke
atas si peminjam (yang enggan membayar
hutangnya) dan kemudian menjual harta miliknya untuk membayar hutang yang
tertanggung di atas bahunya.
Dirawayatkan daripada Ka'ab bin Malik :
أن النبى حجر على معاذ مالة
وباعة فى دين كان علية (رواة الدارقطنى)
4. Pendirian Ulama' terhadap
simpanan-simpanan bank dan faedah-faedah bagi simpanan bank.
Walaupun
ahli-ahli bank mengislahkan wang yang diberikan oleh individu untuk
disimpan di dalam bank sebagai
"simpanan" (الوديعة) tetapi kebanyakan para ulama' menyatakan ia adalah "Pinjaman /Hutang" ( القرض ) yang diberikan oleh
pelanggan kepada bank.37
Ini
kerana kandungan 'aqad yang berlaku di antara individu (yang bertindak sebagai pelanggan) dengan
Bank di dalam aktiviti tersebut menyalahi syarat-syarat Wadi'ah di dalam
36
fiqh Islami dan 'aqad
tersebut lebih mirip kepada 'aqad hutang (al-Qiradh ). Sebagai contohnya, dalam
aktiviti penyimpanan yang berlaku dalam mu'amalat bank pada hari ini,
bank terpaksa menjamin /menaggung sebarang kerosakan yang berlaku terhadap
harta-harta simpanan tidak kira samada
kerosakan tersebut datang daripada pihak bank sendiri atau tidak,sedangkan di
dalam 'aqad wadi'ah pada pandangan fiqh Islami, pemegang harta
simpanan (المودع لدية) tidak menjamin kerosakan bagi harta simpanan melainkan yang
berpunca daripadanya.
Para ulama' sepakat
menyatakan bahawa pemegang harta simpanan (المودع لدية ) adalah pemegang amanah dan bukan penjamin. Oleh itu, ia tidak
bertanggungjawab terhadap kerosakan, kecurian atau kemusnahan yang berlaku pada
harta simpaann melainkan sekiranya berlaku khianat, merosakkan harta tersebut
atau lalai dalam menjaganya.Berkata Ibnu Rusd :
واتفق علماء الامصار على ان الوديعة أمانة لا مضمونة
Nabi (s.a.w)
telah bersabda :
لا ضمان على مؤتمن
Begitu
juga menurut ulama' pemegang harta simpanan (المودع علية) sekiranya ia menggunakan harta simpanan ataupun ia mencampur
harta simpanan tersebut dengan hartanya
sama ada dengan izin daripada orang yang menyimpan (المودع ) atau tidak,maka simpanantersebut akan hilang sifatnya
sebagai wadi'ah dan berpindah
menjadi hutang القرض)) yang berada di bawah
tanggungan pemegang harta simpanan tadi serta mengenai padanya hukum al-Qardh
( القرض ).Di dalam pengamalan bank-bank
konvensional pada hari ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa bank
menggunakan simpanan-simpanan pelanggannya untuk pelaburan dan juga untuk
pemberian pinjaman.38
Apabila menyedari bahawa aqad
yang berlaku adalah aqad hutang
(tanpa melihat nama atau istilah yang diberikan), maka ia mesti
menjadi " القرص الحسن " dan bukan " القرض الربوى". Oleh itu, tidak harus berlaku padanya faedah atau bunga kerana ia adalah riba yang
diharamkan pada semua jenis hutang.
Kesimpulannya,
semua jenis simpanan (akaun)bank samada simpanan semasa ,simpanan tetap atau
simpanan tabungan adalah tergolong di dalam pengertian hutang (iaitu hutang yang diberikan oleh individu
kepada bank ) dan bunga atau faedah yang ditentukan bagi simpanan-simpanan ini
oleh bank adalah riba yang diharamkan oleh syarak.
5. Pandangan Ulama'Terhadap Wang.
Di
dalam tugas utama bank pada hari ini ialah mengeluarkan wang .Perbahasan ulama'
Islam terhadap kedudukan wang ini pada
pandangan Islam adalah panjang dan luas serta banyak berlaku
percanggahan perdapat. Oleh itu, dalam kertas ini, kita hanya mengemukakan
secara ringkas pendapat-pendapat
ulama' dengan memberi penekanan kepada pendapat yang kuat.
Para Fuqaha' telah
membahagikan harta (melihat kepada tugas /fungsinya)kepada dua bahagian
iaitu :39
(1) Wang
(النقود)
(2)
Barang 40 (العروض )
Tujuan dan fungsi asal wang ialah
mu'amalat (المعاملة) dan maksud mu'amalat
ini di sisi Fuqaha' ialah menjadiannya sebagai pengukur nilai (الثمن). Adapun tujuan asal 'arudh
40 ialah
untuk mengambil manfaat.
Sistem Wang bagi mana-mana
negara hari ini, terdiri daripada tiga jenis duit/wang iaitu wang pembantu (النقود المساعدة) atau wang syiling, wang kertas (النقود الورقية)dan wang bank (النقود المصرفية). Pandangan ulama' tentang semua jenis wang ini adalah
seperti di bawah 41:
a) Wang Pembantu/Syiling.
Ia adalah wang logam yang diperbuat
daripada logam-logam yang murah seperti tembaga, timah dan aluminium. Wang
jenis ini hanya merupakan sebahagian kecil daripada jumlah dalam edaran dan
matlamat uatama diwujudkannya ialah untuk memudahkan pertukaran dalam jual beli
yang melibatkan barangan yang mempunyai nilai yang kecil.
Kebiasaannya, nilai sebenar
logam wang pembantu adalah lebih rendah daripada nilai muka yang dinyatakan di
atas logam tersebut. Oleh itu, ia juga dikenali sebagai wang tanda sebab ia
mempunyai nilai muka yang lebih tinggi daripada nilai logam tersebut.
Kewujudan wang jenis ini
bukanlah sesuatu perkara baru tetapi ia telah digunakan oleh orang Arab pada
zaman Jahiliah dan Islam, dan mereka memanggilnya dengan nama Fulus
(الفلوس).
Keadaan dan fungsi fulus ini adalah serupa dengan wang logam pada masa
ini iaitu ia dibuat daripada logam yang rendah nilainya dan digunakan untuk
melakukan pertukaran secara kecil-kecilan sahaja.
Para Fuqaha' telah
membahaskan hukum fulus ini dan berlaku perbezaan pendapat di antara
mereka kepada dua golongan :
1. Golongan Pertama.
Mereka mengangap fulus
sebagai barangan (سلعة / عروض )
dan bukan thaman (الثمن).
Oleh itu, mereka membezakan hukum fulus dengan hukum dua matawang yang
terkenal (iaitu emas dan perak) dalam masalah riba, pertukaran (الصرف ), salam (السلم), dan
zakat. (*Maksud (الثمن) di
sini ialah matawang pengukur nilai/harga
barangan).
2. Golongan Kedua .
Pada
pandangan golongan ini, fulus adalah tergolong dalam jenis thaman (seperti
juga emas dan perak) dan hukumnya sama seperti hukum wang (sama ada emas atau
perak) di dalam masalah riba, salam pertukaran dan zakat (yang
akan dihuraikan ketika kita membicarakan hukum wang kertas nanti).
Dr. Ali Ali Abdur
Rasul menyatakan :"Jumhur Fuqaha' berpendapat
bahawa Fulus adalah barangan ( سلعة / عروض ) dan bukan thaman.Walau bagaimanapu, golongan
yang
menyatakan bahawa fulus tergolong
dalam thaman adalah lebih kuat hujjahnya, lebih mendalam
pemahamannya serta lebih bertepatan dengan realiti yang berlaku di mana ia
telah berperanan sebagai thaman (matawang) dan diterima umum oleh
menusia sebagai perantara di dalam pertukaran mereka. Apa yang berlaku pada fulus
berlaku juga pada wang pembantu pada masa ini. (Oleh itu, hukum wang
pembantu ini sama seperti hukum fulus).
b) Wang Kertas.
Wang
kertas adalah wang dicetak oleh kerajaan
melalui bank pusat yang merupakan wang sah kerana pihak kerajaan memberi
jaminan akan membayar nilai yang dinyatakan di atas kertas tersebut. Setiap
wang kertas yang dikeluarkan disokong oleh harta kerajaan sama ada dalam bentuk
emas atau wang asing yang lainnya. Namun, dalam kebanyakan ekonomi moden
sekarang terdapat sistem wang fiat 42,
di mana wang kertas dan syiling tidak perlu disokong sepenuhnya oleh emas atau logam-logam lain yang
bernilai. Ini bermakna matawang dalam edaran mempunyai nilai lebih rendah
daripada nilai yang dinyatakan diatasnya.
Sistem Wang Kertas ini tidak
dikenali pada zaman Fuqaha' terdahulu. Oleh itu, tidak ada penghuraian
dibuat oleh mereka tentang hukum wang kertas ini. Adapun para Ulama'
Mutaakhirin, setelah mendapati wang kertas ini meluas penggunaannya di
setiap negara di dunia pada hari ini, maka mereka telah membuat perbahasan
meliputi pelbagai cabang yang berkaitan dengan wang kertas ini seperti adakah
diwajibkan zakat ke atasnya? Apakah hukum pertukaran di antara wang-wang kertas
? Adakah berlaku riba padanya
(sepertimana matawang emas dan perak)
atau tidak ? Dan adakah harus untuk dijadikan modal di dalam aqad
salam, syarikat dan 'aqad-'aqad syara' yang lainnya?
Berlaku percanggahan
pendapat di antara Ulama' Mutaakhirin dalam menentukan jawapan bagi
persoalan-persoalan di atas. Percanggahan pendapat ini adalah rentetan daripada
perbezaan pendapat di dalam memahami dan menentukan kedudukan sebenar wang
kertas ini yang dapat diringkaskan seperti berikut :
1. Pendapat Pertama.
Wang
kertas ini adalah semata-mata dokumen hutang43
yang dikeluarkan oleh bank Pusat.
2.Pendapat Kedua.
Wang
kertas adalah tergolong dalam kategori barangan perniagaan (عروض التجارية ) dan hukum-hakamnya
sama seperti hukum barangan perniagaan.
3.Pendapat Ketiga.
Wang
kertas adalah sama seperti fulus dan hukum-hakam yang sabit pada fulus
maka ia juga sabit pada wang kertas.
4.Pendapat Keempat.
Wang
kertas adalah gantian kepada emas atau perak.
5.Pendapat Kelima.
Wang-wang
kertas ini ialah sejenis matawang yang tersendiri yang berfungsi seperti fungsi
wang yang berlaku pada emas dan wang perak
serta athman yang lainnya. Bahkan pada hari ini, ia telah mengambil kedudukan emas dan
perak sebagai pengukur nilai sesuatu barangan atau benda ekoran daripada
lenyapnya penggunaan wang emas dan perak di dalam kebanyakan gerak kerja
pertukaran.Wang-wang kertas ini dikira sebagai jenis-jenis matawang yang
berasingan bergantung kepada negara yang menjadi tempat keluarnya. Wang kertas
Saudi dikira satu jenis matawang, wang kertas Amerika dikira satu jenis
matawang dan begitulah seterusnya dengan wang-wang kertas yang lainnya.
Pendapat
yang diterima oleh kebanyakan Ulama' pada hari ini ialah pendapat yang
kelima. Berdasarkan kepada pendapat ini, dapat disimpulkan bahawa hukum-hakam
yang berkaitan dengan wang kertas ini adalah seperti berikut :
a) Tidak harus secara mutlaknya,
menjual wang kertas dengan wang kertas atau menjual wang kertas dengan wang
lain (seperti wang emas, wang perak atau fulus) secara bertangguh.
Sebagai contohnya, tidak harus menjual
satu Dolar Amerika dengan lima Rial Saudi atau lebih banyak daripada itu,
secara bertangguh.44
b) Tidak harus menjual wang kertas dengan
wang kertas dari jenis yang sama, dengan saling melebihkan (متفا ضلا) sama ada bertangguh atau tunai (iaitu
menerima dalam majlis). Sebagai contohnya, tidak harus menjual 15 Rial
Perak Saudi dengan 16 Rial Perak Saudi.
c) Harus secara mutlaknya
menjual sejenis wang kertas dari jenis yang lain, sekiranya berlaku secara
tunai (iaitu menerima dalam majlis). Sebagai contohnya, harus menjual
satu Dolar Amerika dengan tiga Rial Saudi atau lebih sekiranya berlaku secara
tunai.45
Berkata
Ibnu Munzir :
أجمع كل من نحفظ عنه من أهل
العلم على أن المتصارفين اذا افترقا قبل أن يتقابضا أن الصرف فاسد
Berkata Ibnu Qudamah :
الصرف : بيع الأثمن بعضها
والقبض فى المجلس شرط لصحتها بغير الخلاف
2. Wajib dikeluarkan zakat wang
keatasnya, sekiranya sampai nisab. Kadar nisab zakat wang ialah
jumlahnya menyamai nilai dua 20 dinar ataupun (85 gram emas) atau 200 dirham
(595 gran perak.) Jadi kadar nisab wang kertas ialah : 85 gram emas x
nilai pasaran bagi satu gram emas.
3. Harus menjadikan wang kertas
sebagai modal dalam aqad salam dan syarikat.
c) Wang bank
Wang bank ialah wang
berbentuk simpanan di bank. Ia terdiri daripada wang simpanan orang ramai dalam akaun semasa di
bank perdagangan dan ia boleh dikeluarkan dengan menggunakan cek.Wang-wang
simpanan di bank ini wujud dengan dua cara :
a)Dengan simpanan daripada pelanggan .
Iaitu
pelanggan mengemukakan wangnya untukn disimpan oleh bank dan wang tersebut
dapat dikeluarkan dengan cek pada bila-bila masa yang diperlukan.
Simpanan
jenis ini dipanggil dengan simpanan sebenar.
b)Bank membuka akaun/simpanan bagi
pelanggan melalui pemberian pinjaman.
Iaitu
bank akan mengkreditkan jumlah pinjaman yang telah dipohon dan diluluskan ke
dalam akaun/simpanan semasa pelanggan
(yang memohon pinjaman) dan ia boleh mengeluarkannya dengan cek.
Simpanan jenis ini dipanggil dengan simpanan kredit.
Dr. Ali Ali Abdur
Rasul menyatakan: "Sifat yang ada pada wang
bank iaitu ia boleh dipindahkan dengan serta-merta (malalui cek) kepada wang
kertas pada bila-bila masa, meletakkan kedudukannya sebagai gantian kepada wang
kertas. Oleh kerana hukum pengganti adalah sama dangan hukum sesuatu yang kena
ganti maka, kita berpendapat bahawa hukum wang bank adalah sama dengan hukum
wang kertas (seperti yang dihuraikan tadi). Walau bagaimanapun, pendapat ini
hanyalah kepada wang bank yang berupa
simpanan sebenar iaitu simpanan yang diterima daripada pelanggan. Adapun wang
bank yang berupa simpanan kredit iaitu simpanan yang dicipta oleh bank-bank
ribawi apabila ia mengeluarkan
pinjaman, maka ia tidak dapat disatukan dengan hukum-hakam wang kertas
tadi. Ini kerana asas kewujudan simpanan kredit ini ialah pemberian
hutang/pinjaman dengan mengenakan faedah dan asas ini tidak diterima oleh syarak.
6)Kedudukan cek sebagai pengganti
matawang
Perkara
ini berlaku ketika pertukaran matawang di bank-bank atau di antara individu-individu.
Sebagai contohnya, seorang lelaki menukar di bank matawang
Ringgit Malaysia dengan Dolar Amerika. Ia memberi wang Ringgit Malaysia
kepada bank dan menerima daripada bank, cek yang termaktub padanya jumlah wang
Dolar Amerika yang bersamaan dengan nilai Ringgit Malaysia yang diberikan
kepada bank. Dalam hal ini, adakah menerima cek sebagai pengganti wang dapat
dikira sebagai "القبض "
(penerimaan dalam majlis) yang menjadi syarat kepada pertukaran dua matawang
yang berlainan jenis seperti yang disebutkan tadi?
Menurut jawapan yang
diberikan oleh Lujnah Fatwa Saudi :"Didalam
masalah ini ,menerima cek terkandung di dalam pengertian menerima wang (yang ini diperolehi daripada pertukaran)46
dan ia menyerupai Halawah ( الحوالة ).Walau bagaimanapun,
kalau tidak menjadi kesukaran untuk
menerima wang terlebih dahulu dan kemudian baru menukarnya kepada cek, maka ia
adalah lebih sempurna dan lebih ihtiat ( احوط )
Kesimpulannya, cek boleh
mengambil pengganti yang sempurna bagi wang dan menerima cek terkandung dalam
pengertian "
القبض " di dalam pertukaran matawang. Ini
kerana dalam hal ini, cek telah mengambil tempat matawang dan tidak kelihatan
ketika berlakunya pertukaran.47
7)Membuat pelaburan dalam bank-bank
mengamalkan riba.
Rumah
Fatwa Mesir (دار الافتاء المصرية)
ketika ditanya mengenai hukum menyimpan harta anak-anak yatim di dalam
bank-bank tempatan (yang mengamalkan mu'amalat riba), menyatakan :
"melaburkan harta dengan corak yang telah disebutkan itu adalah tidak harus
kerana ia tergolong dalam riba yang diharamkan oleh syara'.
Begitu juga tidak harus melabur harta anak-anak yatim dalam bentuk yang di sebutkan ini".
Menurut fatwa yang
dikeluarkan oleh Rumah Fatwa Saudi : "Tidak harus memberi saham
kepada bank-bank ribawi dan begitu juga tidak harus menjalankan
amalam-amalan /aktiviti yang mengandungi unsur-unsur riba dengan
bank-bank atau selainnya kerana ia tergolong dalam pengertian bantu-membantu
dalam perkara dosa dan permusuhan yang dilarang oleh syara' di dalam
firmannya:
وتعاونوا على البر والتقوى
ولا تعاونوا على الاثم و العدوان
Kesimpulan daripada fatwa di atas ialah tidak
harus membuat pelaburan
harta dalam bank-bank
yang mengamalkan riba walaupun harta-harta yang dilaburkan itu milik
anak-anak yatim.48
Bekerja di bank-bank yang
mengamalkan riba
Ditanya
kepada Rumah Fatwa Mesir mengenai seorang lelaki yang bekerja sebagai seorang pencatat di bank
: "التسليف الزراعى" dan
seluruh aktiviti bank ini berlaku dengan faedah dan riba yang diharamkan
atau dilarang oleh agama sedangkan ia berhajat kepada pekerjaan tersebut dalam
kehidupanya?.
Jawapan yang diberikan
ialah "Riba adalah sesuatu
yang diharamkan oleh syara' dengan nas daripada kitab, sunnah dan
ijma' para muslimin. Melakukan perbuatan atau amalan-amalan yang
bersangkut-paut dengan riba seperti menulis/mencatat dan sebagainya,
adalah membantu dalam melakukan perkara yang diharamkan. Setiap perkara
yang membantu melakukan perkara yang diharamkan maka ia juga diharamkan
oleh syara'. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan
Muslim. Rasulullah s.a.w.bersabda:
لعن آكل الربا ومؤكله وكاتبه
وشاهديه
Laknat yang diterima oleh orang yang disebut di dalam hadis ini
menunjukkan bahawa perbuatan mereka adalah satu dosa.49
Penutup
Demikianlah
dibentangkan secara ringkas maklumat-maklumat tentang bank konvensional
dan beberapa mauqif syariah dan feqah
Islam terhadap aktiviti-aktiviti bank konvensional. Semoga
pembentangan yang sederhana dan serba
kekurangan ini dapat membuka jalan kepada pembaca untuk membuat pengkajian
seterusnya.
Disusun dan disediakan oleh:
Ahmad Adnan bin fadzil,
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar (Cawangan Damanhur).
1 (Rujuk; معجم مصطلحات الاقتصاد
والمال وادارة الاعمال ) ; Nabih Ghattas, m.s. 183 dan معجم
المصطلحات,المحاسبة والمالية, Adam Abidin,m.s. 53)
2 معجم مصطلحات الاقتصاد
والمال وادارة الاعمال ;Nabih Ghattas,m.s 44
3 Makroekonomi, Lee Wai Keong, m.s. 71
4 Prinsip-prinsip Ekonomi, Harcharan Sigh Khera, m.s. 233
5.
Tugas Bank Perdagangan bukan sahaja menerima simpanan daripada orang ramai
tetapi juga mencipta kredit atau mencipta deposit supaya mendapat keuntungan
.Ada dua cara bagaimana bank mencipta kredit iaitu ; 1)Dengan pinjaman atau
Overfraf,dan 2)Pelaburan Modal.
6. Makroekonomi, Lee Wai Keong m.s57
7. Pinjaman jangka pendek ;"ialah
pinjaman yang dikeluarkan oleh bank di dalam jangka masa kurang daripada
setahun dan dikenakan faedah dengan nisbah yang tetap "(lihat :
8 .(Rujuk : دليل الرجل العادى الى
التعبير الاقتصادى m.s 118
9 .(Rujuk : دليل الرجل العادى الى
التعبير الاقتصادى
m.s 118
10. Hartanah menurut Kamus Dewan ialah harta
yang terdiri daripada tanah dan rumah.
11.
Rujuk;فوائد البنك.فى ضوء الشريعة الاسلامية ,رمضان حافظ السيوطى
m.s 29
12. معجم مصطلحات الاقتصاد
والمال وادارة الاعمال
Nabih Ghattas ,m.s 448 dan
Prinsip-Prinsip Ekonomi,Harcharan Singh Khera,m.s 223
13. Prinsip-prinsip Ekonomi, Harcharan Singh
Khera, m.s. 224
14. Kurun/zaman pertengahan ialah zaman
antara zaman purbakala dengan zaman baru dalam sejarah Eropah iaitu zaman di
antara kejatuhan Empayar Rom (476M) sehingga kejatuhan kerajaan Konstantin
(1453M/857H )
15.Abrasion / تاءكل العملات :Kesusutan yang berlaku kepada berat duit yang berpunca
daripada perpindahannya daripada satu tangan ke satu tangan .
معجم مصطلحات الاقتصاد والمال وادارة
الاعمال ) Nabih Ghattas,m.s 2 )
19 .
Prinsip-prinsip Ekonomi,Harcharan Singh Khera,m.s 224
20 . (Rujuk :
“المصرف الاسلامى علميا وعمليا”, Dr.
Abdus Sami’al Misri m.s 9 dan “النقود والصيرفة
والنظرية” Dr. Abdul Mu'im Mubarak dan Dr. Ahmad
an Naqah,m.s 72 dan 126)
21
(Rujuk :المصرف الاسلامى علميا
وعمليا, Dr. Abdus Sami'al Misri,m.s
22
Rujuk : دليل الرجل العادى الى
التعبير الاقتصادى,
m.s 118
23. "
Dr. Yusof Qardhawi, "فوائد البنوك هى الربا الحرم m.s 39
24. Dr. Sami haram,
محاضرات فى مبادىء النقود والبنوك فى النظام
الراسمالm.s 197-205 dan النقود والصرفية
النظرية النقدية, Dr. Abdul Mui'im Mubarak dan Dr. Ahmad
an Naqah,m.s127
25 Mendiskaunkan : melakukan potongan
daripada harga atau nilai penuh sesuatu.
26.Seperti wang pendahuluan yang diberikan kepada seorang kontraktor untuk
membantunya melaksanakan kerja yang terkandung dalam akad kontraknya.
27.Rujuk lampiran 1
28.Di dalam
mengemukakan aktiviti-aktiviti bank ini, rujukan utama yang digunakan
ialah ;
Prinsip-prinsip Ekonomi (Harcharan Sigh),
Makroekonomi (Lee Wai K eong),
المبادىء القتصاد فى الاسلام (Dr.Ali Ali Abdur Rasul) dan معجم مصطلحات الاقتصاد
والمال وادارة الاعمال , (Nabih Ghattas)
29
Kredit :Menurut Kamus Dewan bermaksud :1."Wang yang dipinjam,jumlah
atau kemudahan pinjaman. Memberi kredit bermaksud memberi pinjaman. 2 . Butir perakaunan. Mengkreditkan bermaksud mencatat butir
perakaunan.
30 Sekuriti :Menurut Kamus Dewan ialah
"Sijil (seperti saham atau bon
)yang menjadikan pemegangnya berhak mendapat bayaran faedah atau dividen. (*Bon ialah surat akaun hutang atau pinjaman)
31 Mendiskaunkan :melakukan potongan daripada
harga atau nilai penuh sesuatu.
32
(Bil Perbendaharaan/Treasury Bills/اذونات الخزانة/ سند على الخزينة :
Bil yang dikeluarkan atau dijual oleh kementerian Kewangan untuk memperoleh
pinjaman-pinjaman jangka pendek). Rujuk معجم مصطلحات الاقتصاد
والمال وادارة الاعمال , Nabih Ghattas, m.s 549
33, Dr. Ali Ali Abdur Rasul, المبادىء الاقتصاد فى الاسلام
m.s
117-125
34 D
r. Ramadhan Hafiz as Suyuti , فوئد البنوك.. فى ضوء الشريعة الاسلا مية m.s 83
38 , Dr.Mohd. Abdul Hamid as Sayyid
Mutawalli dan Dr. Mughawi as Sayyid Ahmad Bakhit, من المعاملات فى الفقة
الاسلامى m.s 173
39, اقتصاديات النقود فى اطار الفكر الاسلامى,Dr.Abu Bakar as Siddiq Omar Mutawali dan Dr. Shauqi Ismail
Syahatah m.s 16-18
40 Al Arudh (barangan) dikategorikan
oleh Ulama' kepada dua pula iaitu: (1) Barangan Perniagaan (عروض التجارة):iaitu
barangan-barangan yang disediakan untuk jualan, dan(2) Barangan Pemilikan (عروض القنية):iaitu barangan bukan untuk
jualan. Di dalam istilah ekonomi moden, barangan pertama dipanggil aset
semasa (current assets/أصول متداولة ) dan barangan kedua dipanggil sebagai
aset tetap (fixed asset/أصول ثابت.)
41,Dr Ali Ali Abdur Rasul, المبادىء الاقتصادى فى الاسلام
m.s 126-157
(untuk penjelasan lanjut tentang mauqif
syariat terhadap wang syiling dan wang kertas, rujuk buku Dr.Yusof al
Qardhawi, فوائد البنوك هى الربا
الحرام m.s
54-60).
42 Wang Fiat atau wang tersendiri (النقود الاستبدية
)ialah : نقود قانونية الزامية .(Rujuk buku
"والصيرفة والنظرية النقية
النقود
" oleh Dr.Abdul Mu'im Mubarak dan Dr.
Ahmad an Naqah, m.s 19 )
43 Iaitu dokumen yang menunjukkan bahawa
negara berhutang kepada individu yang memegang dokumen tersebut.
44 Contohnya: Ali buat pertukaran dengan
Ahmad. Ali beri kepada Ahmad satu Dolar dan kemudian Ahmad kata kepada Ali :
"aku akan beri kepada kamu 5 Rial besok atau lusa." Per tukaran ini
adalah tidak sah kerana tidak berlaku secara tunai.
45
Sandaran-sandaran bagi keharusan ini ialah hadis-hadis nabi di antaranya
ialah hadis :
(بيعوا الذهب بالفضة كيف
شئتم يدا بيد)
dan hadis (الذهب بالورق (الفضة) ربا هاء وهاء)
46 Iaitu sahnya pertukaran disyaratkan "saling menerima" (التقا بض ) dalam
majlis supaya penukaran tersebut berlangsung secara tunai.
47 أخطاء شائعة فى البيوع
وحكم بعض المعاملات الهامة"” ,Syeikh
Said Abdul Azim, m.s 23 (penaqolan dibuat secara
mafhum).
48 "أخطاء شائعة فى البيوع
وحكم بعض المعاملات الهامة ",Syeikh Said Abdul Azim, m.s 37-39
49 "خطاء شائعة فى البيوع وحكم بعض
المعاملات الهامة", Syeikh Said Abdul Azim, m.s 39-40
No comments:
Post a Comment